Pembuka kata
:) catatan baru di halaman baru,
Bismillah,
Aku mulakan catatan lembaran ini dengan puji pujian yang hanya layak kepada-Nya. Wahai sang pencipta langit dan bumi, janganlah engkau memalingkan wajahmu(rahmat dan kasih) tatkala kami bermaksiat dengan-Mu. Terimalah amalan kami yang tidak seberapa ini. Selawat dan salam keatas Nabi Muhammad S.A.W. dan ahli keluarganya yang mulia.
Hampir cukup 4 tahun aku berkelana ke bumi Syam yang penuh barakah ini. Tidak sedikit pun engkau membiarkan aku terkapai-kapai dalam suasana baru. Apabila aku melihat semula anggaran kos pengajian sepanjang disini, tertamparlah hati ini kerana merasakan bahawa cukup besar kesenangan dan limpah kurnia yang telah engkau berikan pada kami. Makan, tempat tinggal dan suasana yang baik. Walau tidak semegah sahabat-sahabat yang mengaji di serata dunia, namun mencukupi. Nikmat apakah lagi yang ingin aku dustakan?
Saki baki kehidupan di sini sangat merisaukan hati. Cukupkah aku bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat kelak? Cukup fahamkah aku dengan pengajian yang telah aku pelajari selama ini? Cukup bersediakah aku untuk mengatakan “tidak tahu” pada perkara yang sememangnya aku tidak tahu sedangkan kami akan dipandang mulia dan berilmu setibanya di tanah air.
Duhai hati yang sentiasa tidak merasa cukup, sejauh mana pengamalan engkau seharian? Siapakah yang menjadi idaman dan contoh dalam kehidupan? Sejauh mana akhlak engkau untuk menyandang gelaran mahasiswa timur tengah? Berat bukan? Namun itulah hakikat yang perlu engkau telan. Wahai Tuhan, berikanlah ketabahan dan kekuatan hati dalam menelusuri liku-liku kehidupan.
Sepulangnya engkau ke tanah air, adakah tamat sudah riwayat kehidupan mengaji engkau? Bagaimana engkau ingin meneruskan legasi kehidupan yang berlandaskan syariat? Siapakah bakal mendampingi engkau sepanjang hayat? Adakah dia yang akan menjadi penguat engkau dalam kehidupan beragama atau menjadikan engkau lebih jauh daripada agama? Moga saja Allah mengurniakan engkau wanita yang solehah dan sama-sama ingin menjadi versi yang terbaik, sesuai tuntutan syariat agama.
Dewasa ini, betapa ramai yang ingin menyembunyikan ‘izzah mereka yang berlatarbelakangkan agama kerana malu. Malu untuk dilihat beragama. Malu untuk disebut ustaz/ustazah. Malu untuk mengamalkan apa yang dipelajari. Bukankah kita sudah berada di akhir zaman? Bukankah nabi kita yang mulia pernah mengingatkan bahawa akhir zaman nanti agama akan menjadi asing seperti awal kemunculannya. Maka beruntunglah orang yang asing. Bukankah begitu? Sahutlah seruan untuk kembali ke pangkal jalan.
Pedulikan kata orang, bukankah kita lebih memerlukan pedulinya pandangan Allah S.W.T. ? Jadilah contoh yang terbaik buat masyarakat. Iya perlu diakui sentiasa kedudukan dan tahap pengamalan kita. Tetapi sepatutnya menjadikan kita lebih semangat asbab “title” tersebut, semangat untuk melahirkan lebih ramai agamawan yang lurus pada jalan agama.
Moga Allah S,.W.T menerima kekurangan diri ini dan membantu hamba yang penuh kedhaifan dalam setiap urusan. Ya Allah, ampunilah kami kerana malu pada tempat yang tidak haknya.
-Anwar Yahya
(Amman,Jordan) (25/4/2023) (Selasa)
Comments
Post a Comment