Solo Traveler : Bahagian 5
Bahagian 5 : Langkah
Solo traveler ;
Lumrah manusia yang berjalan berseorangan akan menarik perhatian. Dari satu bangunan ke bangunan aku diperhatikan. Badan berketul-ketul lagak samseng jalanan. Aku memilih jalan itu kerana ia sangat dekat dengan hostel. Adakah aku silap?
Cuba percepatkan langkah.
"Dub dap dub dap"
Ah sudah. Jantung semakin laju. Langkahku agak perlahan kerana perlu menaiki bukit yang tidaklah tinggi akan tetapi cukup melelahkan. Ditambah pula suasana yang tidak enak. Beberapa orang yang tidak ku kenali menyapa. Mengajak untuk minum sekali. Berbudi bahasa mereka. Fuh! Aku tidak termakan. Bahaya. Seketul Anwar yang tidak lah badannya seperti Sazali Samad mahu turut serta bersama-sama.
Aku menolak pelawaan mereka sambil mengatakan "kawan" sedang menunggu di hujung bangunan. Kawan? Itulah trik yang aku peroleh di laman sesawang. Menggunakan helah untuk tidak didekati lebih-lebih lagi berjalan berseorangan.
Alhamdulillah syukur. Aku selamat tiba di lobi hostel. Aku tidak berhajat untuk terus masuk ke bilik. Ingin bersantai sebentar di kafe hostel. Kelihatan beberapa orang lelaki sedang asyik "minum". Aku tidak terkejut. Memang itu budaya orang barat. Malam adalah untuk berehat dan minum. Aku sudah mempunyai pengalaman seperti itu. Melalui kawasan orang yang sudah mabuk. Baunya tidak tergambar. Busuk. Pengalaman di gerabak keretapi "long distance". Pengalaman tersadai di bawah jambatan dengan suhu rendah dikacau oleh seorang pemabuk. Mungkin akan aku cerita pengalaman tersebut nanti.
Oh hampir terlupa. Dalam perjalanan tadi ada orang yang meminta "lighter" rokok kepadaku. Rokok pun aku tidak sentuh. Apatah lagi yang seangkatan dengannya. Alhamdulillah atas nikmat pegangan ini. Satu hal yang aku cuba untuk istiqomah adalah hal-hal yang berkaitan dengan ketulan asap ataupun wap. Rokok, vape, shisha. Aku cuba jauhi. Walau sekadar mencuba pengalaman sekali seumur hidup namun aku tetap menolak lembut. Pernah satu ketika, aku bersama-sama kawan melepak di tepi pantai Aqabah. Lazimnya orang arab disana akan dibekalkan shisha di tepi pantai. Ada segelintir kawan-kawan aku yang turut sudah terbiasa dengan shisha meminta aku mencuba sekali.
"Tak apalah, aku tak nak". Aku cuba menolak. Walaupun diri ini banyak sekali kekurangan dan kelemahan, ada pegangan yang masih utuh. Alhamdulillah. Moga mereka mendapat hidayah untuk berhenti daripada perbuatan tersebut. Aku tetap ralit memandang orang-orang di kafe. Fikiranku tanpa sedar memikirkan sesuatu. Apalah yang dibuat oleh orang yang jauh disana? Bukankah Turki ini bumi yang engkau mahu jejaki dahulu?
Aku bingkas bangun. Menuju ke bilik. Salah seorang hostel-mate yang baru dikenali ada di kafe. Tengah khusyuk menelaah sesuatu. Aku memandang dari jauh. Moga berjaya.
Bersambung....
Comments
Post a Comment