Solo Traveler : Bahagian 2
Bahagian 2 : Istanbul Aku Datang
Solo traveler ;
Hari yang ditunggu-tunggu kian tiba. Meminta sahabat bersama-sama ke lapangan terbang Queen Alia. Diri ini masih cuba untuk mengukir senyuman. Tanda tenang. Bersalaman dengan sahabat sebelum meninggalkan mereka jauh. Tidak menoleh ke belakang. Ini adalah jalan yang ku pilih.
Selesai.
Urusan “passport” dan tiket penerbangan berada di genggaman.
Sepanjang berada di perut kapal terbang, aku tidak memikirkan perkara-perkara lain. Hanya mahu merehatkan diri kerana esok pasti adalah hari yang memenatkan. Pasti.
Setibanya di Ankara, tempat untuk “transit” seketika, mata tertumpu pada harga-harga “simcard”. Mahal sungguh. Jauh daripada perkiraan aku. Sebelum bertolak ke Turki, pelbagai laman sesawang mahupun “blog traveler” yang sudah ku hadam baik. Beza harga yang mencecah 300 tl tidak masuk akal. Harga kebiasaan untuk 20gb/25gb sebulan adalah sekitar 630-690 tl. Tetapi di Lapangan Terbang Ankara, mencecah hampir 900-1000 tl. Kepada yang tidak membuat persiapan pasti mudah tertipu dengan harga kayangan. Tidak mengapa, kita tunggu sehingga tiba di Istanbul, pasti harga di sana akan lebih murah. Penggunaan internet percuma hanya diberikan untuk tempoh 2 jam di lapangan terbang. Cukup untuk orang yang tidak berhenti lama.
Aku gunakan waktu yang ada untuk membaca buku kecil. Poskad-Poskad Penghujung Semester. Tulisan Hafizul Faiz. Menarik. Cuma aku belum mampu untuk menulis seperti beliau. Penggunaan kosa kata yang lebih dinamik. Ku teliti setiap bait-bait tulisannya. Aku seperti berada di dunia yang lain. Perlahan-lahan membelek dari satu kulit ke kulit. Membayangkan situasi yang dihadapinya. Sebolehnya aku mengimpikan cerita yang sama dengan kisahku. Berbeza. Cukup memberikan inspirasi.
Setelah lama aku menerawang di alam sebalik mata, aku kembali ke dunia realiti. Tertidur rupanya. Bagaimana boleh tertidur? Hahaha. Melirik mata ke telefon bimbit. Eh! Setengah jam lagi. Memahat keazaman untuk bergerak sepantas yag boleh. Fuh. Mujur sempat ke balai pelepasan. Dan itu, adalah sekian kalinya aku hampir tertinggal penerbangan ke Istanbul. Istanbul Aku Datang.
Bersambung….
Comments
Post a Comment