Solo Traveler : Bahagian 3
Bahagian 3 : Memerhati
Solo traveler ;
Terpanar.
Terpegun.
Tergamam.
Air mata pula mengetuk pintu untuk turut serta. Ya Rabb, aku benar-benar sudah berada di Istanbul. Dengan pantas tanganku melarikan diri ke poket. Mengambil telefon bimbit. Merakam ketibaan sang perindu. Betapa aku merindukan bumi ini. Mata berkeliaran seperti anak kecil mencari ibunya. Mujur janggut sejemput ini telah membezakan aku dan anak kecil.
Capaian internet sudah ku miliki. Aku meneruskan perjalanan ke tengah-tengah keramaian. Aku ralit memerhati setiap gerak geri manusia. Ada yang seperti aku, bergerak solo. Ada pula yang sibuk membetulkan posisi anaknya bergambar. Dan ada juga yang sedang bergelak ketawa menampakkan gusi yang indah. Masing-masing dengan dunia mereka. Aku, begini. Suka memerhati.
Tidak lekang dari bibirku senyuman. Aku betul-betul berasa puas. Hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya saat itu. Aku hampir lupa dengan kepenatan yang telah aku tempuhi. Dalam kegembiraan, mata juga perlu diawasi. Berkali-kali mengalihkan pandangan mata daripada susuk-susuk tubuh yang tidak cukup benang. Faham bukan? Itulah yang berlaku apabila berada di musim panas. Berbeza ketika musim sejuk, pakaian mereka agak tertutup dan tebal. Aku sudah melalui pengalaman tersebut.
Bumi yang dahulunya pernah berada dalam kekuasaan Kerajaan Islam Uthmaniah. Kemudian, bertukar sebaliknya. Kini, perlahan-lahan kembali menuju jalan pulang. Namun, masih perlu dipupuk sedikit demi sedikit. Moga-moga Islam di Turki akan berkembang mekar dan pengamalannya semakin teguh. Aku teringat akan filem indonesia yang berjudul “Bulan Terbelah di Langit Amerika” dan “99 cahaya di Langit Eropa”. Kedua-dua cerita ini sebenarnya telah aku ikuti lama. Sejak diploma lagi. Dari inilah aku mendapat inspirasi dan impian untuk mengembara ke serata dunia. Acha Septriasa yang merupakan salah seorang watak utama dalam filem tersebut. Dia adalah seorang jurnalis islami. Aku suka peranan yang ditonjolkan. Bekerja di luar tanah kelahiran sambil menulis. Walaupun diri ini bukan seorang jurnalis bahkan belum mendapat sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana syarikat, impian itu tetap wujud.
Aku yakin, semaju apa pun peredaran zaman, tetaplah penulisan mendapat tempat utama. Cuma di platform apa yang bakal berjaya dan berada di pasaran yang tinggi. Aku lebih gemar menulis di “platform” ini disebabkan masih belum menemui sentuhan yang aku inginkan. Doakan moga suatu hari nanti, impian ini akan tercapai..
Istanbul. Aku benar-benar kembali. Pernahkan engkau ingat akan kisah 4 tahun yang lalu? Ketika aku melancong bersama-sama keluarga tercinta. Di saat itu, dunia yang terasa seperti sebuah mimpi indah bertukar menjadi sebuah penjara. Aku tidak mampu keluar dari situasi yang mengongkong. Kusut. Pasrah. Bingung. Kesemua itu menjadi sahabat. Aku belajar dari pengalaman ini, bahawa restu ibu dan ayah adalah segala-galanya. Berpijaklah di bumi yang nyata. Bergasak dengan keegoan tidak mendatangkan sebarang manfaat. Silapnya, aku tidak mengikut langkah yang benar. Darah muda membuatkan aku tidak berfikir panjang. Aku terfikir sejenak jika aku mengikut rentak yang betul, mungkin skrip yang berbeza akan berlaku. Ketentuan Allah, ia telah mematangkan aku. Moga saja “dia” kini hidup bahagia saat aku melepaskannya dengan hati yang sungguh tidak rela. 4 tahun sudah berlalu. Itu jugalah antara moment terakhir aku menghubunginya.
Hidup ini perlu diteruskan. Aku mempercepat langkah ke “hostel”. Ingin melepaskan kepenatan yang tidak mampu ditanggung lagi. Selepas membersihkan diri, dunia seakan-akan gelap. Mengakhiri kisah bahagian 3. Terima kasih dan berjumpa lagi di bahagian seterusnya.
Bersambung…
Comments
Post a Comment