Solo Traveler : Bahagian 4
Bahagian 4 :
Solo traveler ;
Pengembaraan diteruskan. Mengisi perut kosong. Sejak bangun dari tidur, perut ini tidak berhenti meminta. Bukan kepalang bunyi yang dikeluarkan. Boleh jadi pelbagai koleksi nyanyian sudah dimainkan.
Lumrah seorang pengembara solo. Tidak terikat dengan sesiapa. Bergerak mengikut kemahuan dan acuan sendiri. Makanan ala ala turki langsung tidak menjadi pilihan. Tekak asia tenggara. Itu yang dicari.
“KOALI Lounge & Dine”….
Cadangan kawan untuk dicuba. Restoran Indonesia yang menyajikan pelbagai jenis makanan orang Indonesia. Kemas, teratur dan menarik. Cuma menu utama sudah habis. Aku sedikit kecewa.
Destinasi pertama yang ingin dituju adalah jambatan penghubung antara 2 teluk. Kawasan tumpuan “kaki pancing”. Boleh dikatakan sepanjang jambatan itu sibuk dengan aktiviti memancing. Ditambah pula dengan pemandangan yang indah. Burung berkicauan. Air laut yang berwarna biru muda. Dihias dengan pantulan cahaya matahari terbenam. Tidak ubah seperti yang digembar gemburkan. Sangat menakjubkan.
Pengalaman ini yang sangat bermakna. Kerana tidak semua agensi pelancongan akan memberi peluang turut serta dengan masyarakat tempatan beraktiviti santai bersama-sama mereka. Dahulu aku sekadar melihat dari kaca cermin bas yang bergerak. Hati melonjak untuk melihat dan merasai dengan mata kepala sendiri.
Jam menunjukkan jam 8.30 malam. Waktu maghrib semakin hampir. Aku meneruskan perjalanan ke Masjid Biru. Menunaikan hak seorang Muslim. Sekitar 8.45 malam azan maghrib berkumandang. Tidak sempat bersama-sama imam rawatib. Pengunjung terlalu ramai membanjiri sekitar masjid. Agak sukar mempercepat langkah. Tidak mengapa. Imam seterusnya pasti ada.
Seusai menunaikan solat, tanpa bergegas dan menarik butang panik, aku berjalan perlahan-lahan keluar dari kawasan masjid. Orang ramai masih memenuhi kawasan sekitarnya. Aku melabuhkan pinggul untuk bersandar pada sebuah kerusi panjang. Begitulah diriku. Suka melihat keramaian orang walau tidak berminat untuk turut serta. Bagiku satu kepuasan untuk memerhati manusia yang datang dari pelbagai pelosok dunia.
Indahnya Islam itu kerana sentiasa mengajar umatnya untuk tetap mengingati Tuhan dengan waktu-waktu yang khusus. Tidaklah aku membicarakan bahawa selain waktu yang ditetapkan itu untuk melupakan Tuhan, akan tetapi sebagai menghidupkan semula peringatan pada diri bahawa hidup ini mesti berlandaskan aturan Allah s.w.t.
Bersambung…
Comments
Post a Comment